MELAKA TOURISM

Friday, 14 December 2012

SPAD beri lampu hijau pembinaan trem di Melaka


12 Disember 2012
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi lampu hijau bagi projek trem di Melaka walaupun undang-undang berkaitan penggunaannya masih belum wujud di negara ini. Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kerja-kerja teknikal seperti pembinaan landasan dan depoh boleh dimulakan sementara menunggu undang-undang pengangkutan trem digubal.
 


"Undang-undang jalan raya sedia ada tidak merangkumi penggunaan trem dan belum ada peraturan yang mentadbir pergerakannya. Namun kita benarkan projek ini diteruskan kerana kita masih ada masa untuk mewujudkan undang-undang itu selagi operasi trem belum dimulakan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
 
Beliau berkata SPAD telah mengadakan perbincangan dengan pihak Peguam Negara dalam merangka undang-undang tersebut sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk digazet. Dalam pada itu, katanya SPAD akan meminta laporan terperinci mengenai aspek keselamatan dan penyelenggaraan sistem trem daripada pihak pemaju bagi memastikan kelancaran pengangkutan tersebut.



Projek pembinaan trem di Melaka dilaksanakan oleh Syarikat Mrails International Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Ketua Menteri (CMI) melibatkan kos RM272 juta yang akan bermula dari depot bersebelahan Plaza Tol Ayer Keroh ke Bandaraya Melaka meliputi jarak 40 kilometer merangkumi 11 daripada 14 kawasan tarikan pelancong. Trem yang bakal beroperasi menggunakan gas cecair asli itu berupaya mengangkut 120 penumpang pada satu-satu masa dengan kelajuan 40 km/j.
 
Sementara itu Mohd Ali berkata kerja-kerja awal projek trem dijangka dimulakan pada Februari tahun depan. "Kerja-kerja teknikal bagi pembinaan infrastruktur seperti depoh akan dilakukan tertakluk kepada kelulusan peringkat akhir rekabentuk sistem kenderaan ini oleh SPAD," katanya.


Thursday, 13 December 2012

Pelancaran Fabulous Food 1Malaysia Street & Hawkers Food


Sekitar Pelancaran Fabulous Food 1Malaysia Street & Hawkers Food oleh Ketua Menteri Melaka bersama Menteri Pelancongan Malaysia pada 4 Dis 2012 di Mahkota Parade.








Wednesday, 12 December 2012

Bukit St. Paul




Bukit ini juga dikenali sebagai Bukit Melaka di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Selepas itu ia juga dikenali sebagal Bukit Bendera. Nama Bukit St. Paul diambil dari nama Gereja St. Paul yang sehingga kini masih terdapat runtuhannya dikemuncak bukit ini. Di sini juga terdapat rumah api yang dibina di zaman awal Inggeris di Melaka. Bukit St. Paul merupakan sebahagian dari peninggalan sejarah di Bandar Tua Melaka.

Menara Taming Sari






Saksikan pelbagai pemandangan menarik dan bersejarah di Melaka daripada ketinggian 80 meter di Menara Taming Sari. Dengan pemandangan indah Selat Melaka yang luas terbentang serta pembangunan pesat di Melaka, lawatan ke Menara Taming Sari ini akan melakar kenangan dan pengalaman yang sukar dilupakan.

Menara Taming Sari yang terletak di Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka telah dibuka pada 18 April 2008. Menara tinjau setinggi 110 meter ini telah direkabentuk berdasarkan pada legenda Keris Taming Sari.

Ia menjadi menara pertama di negara ini yang mempunyai struktur berputar sepenuhnya. Kabin tinjau yang dilengkapi penghawa dingin ini mampu memuatkan 66 pelawat pada satu masa.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan




Sebuah bangunan lama yang telah diubahsuai, kini dengan megahnya berdiri menghadap ke Padang Pahlawan pernah mencatat sejarah kemenangan di atas sebuah perjuangan; mengarah ke Selat Melaka yang biru menyelami dasar ingatan tentang sebuah Kesultanan Melayu. Itulah bangunan yang banyak rahsia terpendam di dalam gedungnya, kini dikenali sebagai Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan diwujudkan atas usaha bersama Kerajaan Negeri Melaka dan Arkib Negara Malaysia. Bangunan Memorial ini dahulunya adalah bangunan Malacca Club dan telah diubahsuaikan. Kerja-kerja pengubahsuaian ini dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka di bawah pengawasan Arkib Negara Malaysia. Perbelanjaan mengubahsuai adalah sebanyak RM1,382,971 dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Melaka. Terletak di atas tapak seluas 4,333 meter persegi, bangunan Memorial ini dikelilingi oleh tinggalan-tinggalan dan binaan-binaan sejarah seperti Kota Famosa, Bukit, St. Paul, Padang Pahlawan dan Muzium Budaya atau Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka.

Penubuhan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bersesuian pada masa dan tempatnya sebagai memperingati detik-detik perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan, tambahan pula kedudukannya yang dikelilingi oleh tinggalan dan kesan-kesan sejarah tanah air yang penting. Cadangan awal Kerajaan Negeri Melaka ialah untuk menamakannya sebagai Memorial Tunku Abdul Rahman tetapi telah diubah kepada Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Ini bersesuaian dengan satu peristiwa penting iaitu tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, yang telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Pahlawan, Bandar Hilir pada 20 Februari 1956. Bersempena dengan sambutan perayaan kemerdekaan Ke-28, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1985.

Kewujudan Memorial ini adalah untuk mengenang kembali lembaran sejarah detik-detik perjuangan kearah mencapai kemerdekaan sehinggalah ke detik paling bersejarah di Padang Pahlawan, Bandar Hilir. Usaha ini bertujuan untuk memberi pengajaran kepada generasi masa kini dan akan datang untuk memahami sejarah perjuangan bangsa menuntut kemerdekaan negara dalam perspektif yang sebenarnya. Dengan cara ini para generasi muda akan dapat menghargai, menghormati dan seterusnya meneladani pengorbanan datuk nenek mereka dalam perjuangan membebaskan negara. Ini secara tidak langsung akan dapat memupuk semangat kenegaraan, rasa hormat dan cintakan negara.

Untuk tujuan tersebut, Memorial setinggi dua tingkat ini menyedia dan mempamerkan dokumen-dokumen sejarah yang meliputi zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah ke detik tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957. Bahan-bahan yang dipamerkan termasuklah dokumen sejarah, gambar, peta, keratan akhbar dan majalah, petikan filem dan lain-lain yang didapati daripada sumbangan orang ramai dan barang-barang kepunyaan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pameran yang terdapat di Memorial ini dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut urutan peristiwa atau secara kronologi. Ianya bermula daripada penubuhan Kesultanan Melayu Melaka dan zaman-zaman kejatuhan serta pengundurannya ke Johor dalam usaha menentang Portugis. Beberapa siri perjuangan menentang penjajahan seperti di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Sarawak turut dipamerkan.
Selain itu turut dipamer juga perjuangan rakyat Persekutuan Tanah Melayu di zaman pra-kemerdekaan khususnya peranan parti-parti politik dan tokoh-tokoh seperti Dato' Onn, Tunku Abd. Rahman, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ibrahim Yaacob sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan menerusi permuafakatan parti-parti UMNO - MCA - MIC yang mewakili tiga kaum terbesar dalam Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.

Ruang-ruang pameran juga disediakan mengikut urutan peristiwa tersebut bermula dari tingkat bawah bangunan Memorial sehinggalah ke tingkat kedua. Pada ruang di tingkat dua memorial ini, disediakan tayangan filem yang berkaitan dengan perjuangan ke arah kemerdekaan seperti zaman darurat dan pengisytiharan hari kemerdekaan. Sebahagian besar bangunan Memorial ini digunakan untuk pameran dan di sebelah belakangnya ditempatkan ruang pejabat bagi mengendalikan Memorial ini.
Kini Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan merupakan salah satu bangunan yang menjadi tumpuan para pelawat yang ingin mengetahui sejarah perjuangan negaramembebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Di dalam terpamer segala khazanah perjuangan bangsa untuk tatapan dan teladan generasi hari ini dan akan datang.

Masjid Selat Melaka




MELAKA bukan sahaja merupakan sebuah negeri yang kaya dengan peninggalan sejarah tetapi ia juga merupakan sebuah pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terulung di Nusantara. Sehubungan itu, masjid-masjid telah didirikan untuk dijadikan tempat belajar ilmu agama seperti fikah, usuluddin, tasauf, tafsir dan mengaji al-Quran.  Masjid-masjid yang kekal hari ini menjadi monumen dan warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

Tidak hanya setakat itu, kerajaan negeri Melaka turut membina masjid-masjid baru dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam di samping memenuhi keperluan berikutan pertambahan penduduk di negeri itu sendiri. Terbaru dan terkini, Masjid Selat, Melaka, yang dibina di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka, selat yang terpanjang dan tersibuk di dunia.

Menelan belanja hampir RM11 juta, masjid tersebut yang dibina di atas tanah yang berkeluasan 1.8 hektar mempunyai ciri-ciri seni bina Melayu dan Timur Tengah. Daripada jumlah RM11 juta, kerajaan Persekutuan memberi peruntukan sebanyak RM7 juta. Masjid tersebut mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa. Ia mula dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika itu pada 24 November 2006.

Masjid ini amat penting kerana ia dapat meniup semangat baru kepada seluruh masyarakat Islam di negeri ini. Ini kerana, katanya, masjid berkenaan terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan eksklusif selain perumahan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Beliau memberitahu, selain untuk tujuan solat, rakyat dan para pelancong juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar masjid. 

"Pembinaan masjid tersebut di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Bandar Hilir adalah mercu tanda baru di negeri ini serta menunjukkan usaha kerajaan negeri yang sentiasa meningkatkan syiar Islam. "Masjid yang dibina di atas permukaan laut berdekatan pulau buatan manusia ini akan menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan pelancongan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini. Jika diteliti, seni bina dan kedudukan Masjid Selat, Melaka, amat menarik. 

Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, masjid berkenaan begitu mirip sebuah masjid terapung yang terdapat di bandar Jeddah, Arab Saudi. Untuk pengetahuan bersama, masjid tersebut merupakan ilham daripada Ali Rustam yang pernah menyertai lawatan ke Jeddah satu ketika dahulu. Jika kita meninjau masjid ini dengan lebih dekat lagi, pastinya seribu ketenangan jiwa tercipta bagi melupakan sebentar segala cengkaman masalah dunia.
Masjid yang didominasi rona putih lambang kesucian, benar-benar jelmaan keindahan dan kehalusan seni bina bagi menarik hamba-hamba-Nya supaya lebih dekat dengan Allah SWT. Bersujud di dalamnya sambil dihembus angin selat yang bertiup pastinya menjadikan solat tarawih sempena bulan Ramadan ini misalnya adalah terbaik pernah kita laksanakan. Pada masjid ini terdapat pelbagai keunikan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata. Namun yang paling ketara ialah binaan menaranya yang setinggi 30 meter. Menara yang menjulang tinggi di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat itu sebenarnya tidak sekadar menara untuk melaungkan azan ke seluruh alam. Sebaliknya, dengan kedudukan fizikal terletak di pinggiran selat itu maka menara itu mempunyai dwi fungsi sebagai Rumah Api.

Rumah Api yang mengeluarkan cahaya amaran kepada perahu-perahu sehinggalah kapal-kapal yang melalui Selat Melaka itu. Memberikan juga panduan kepada pesawat yang terbang di ruang udara. Kubah Besar Masjid Selat yang mampu dilihat jelas dari jarak jauh dengan warna biru keemasan yang bergabung dengan birunya air laut, mencetuskan satu lagi fenomena perpaduan yang menjadi tunggak Melaka Bersejarah. Ini kerana ada rekod sejarah yang mengatakan walaupun bangsa-bangsanya terdiri dari Melayu, Cina yang digelar Baba dan Nyonya sehinggalah India dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Chettiar, itulah uniknya Melaka, mereka kesemuanya bersatu atas nama Islam.

Siri lawatan ke Melaka kini tidak akan lengkap jika kita tidak mengunjungi Masjid Selat. Walaupun mungkin akan lebih dipengaruhi emosi dan nostalgia sejarah dengan keunikan-keunikan Masjid-masjid lain seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan sebagainya. Rekaan masjid ini mendaulatkan konsep seni bina Melayu. Ini apabila kita dapati elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian menjadi konsep rekaan. Empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah yang besar. Iaitu kubah besar yang indah dan unik menaungi Dewan Besar Solat yang berukuran 24 diameter. Masjid Selat begitu lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi segala fungsi dan aktiviti yang mengimarahkan masjid.

Selain Dewan Solat, terdapat Dewan Serba Guna, Perpustakaan, Kelas-kelas Pengajian dan sebagainya. Namun pandangan mata begitu tertumpu juga kepada keindahan seni buatan mimbar masjid ini. Berasaskan kepada kayu jati, mimbar tersebut diukir dengan seni ukiran yang sangat halus bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga. Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi ruang dan dinding masjid. Seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih namun dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza bagi menghasilkan sistem bunyi akustik baik dan mengurangkan gema.

Monday, 10 December 2012

JEMPUTAN MENGHADIRI SEMINAR TRANSFORMASI USAHAWAN BUMIPUTERA BERDAYA SAING DI DALAM INDUSTRI PELANCONGAN NEGERI MELAKA


Semua Pengusaha Produk / Premis Penginapan Pelancongan
Negeri Melaka.
           
JEMPUTAN MENGHADIRI SEMINAR TRANSFORMASI USAHAWAN BUMIPUTERA BERDAYA SAING DI DALAM INDUSTRI PELANCONGAN NEGERI MELAKA.

Dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan bersama Jawatankuasa Pengusaha Pelancongan Bumiputera Negeri Melaka dan diselaraskan oleh Akademi Pelancongan Melaka akan mengadakan seminar pada ketentuan yang berikut:
          
Tarikh:       11 Disember 2012 (Selasa).
Masa:         7.30 pagi – 5.00 petang.
Tempat:     Auditorium MITC, Ayer Keroh, Melaka.
Perasmi:   YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka.


Seminar ini bertujuan untuk menyarankan golongan bumiputera bijak menggunakan peluang yang telah sedia ada seterusnya dapat memberi pemahaman kepada peserta seminar tentang impak pembangunan prasarana di Negeri Melaka. Selain daripada itu juga, peserta diberi pendedahan tentang pengurusan kewangan, “business marketing”, isu cukai dan promosi yang berkaitan dengan usahawan bumiputera di dalam industri pelancongan.

Aturcara:-
7.30 pg            :           Pendaftaran peserta
8.20 pg            :           Ketibaan Tetamu Kehormat
8.30 pg            :           Nyanyian lagu Negaraku dan Bacaan Doa
9.00 pg            :           Pembentangan 
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malay
“ Implikasi –implikasi Pembangunan Pelancongan di Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya”

10.00 pg          :           Minum pagi            
10.30 pg          :           Pembentangan
Pengarah Tourism Malaysia
” Impak Promosi di dalam Industri Pelancongan

11.00 pg          :           Pembentangan 3
SME Bank
”Peluang-Peluang Pinjaman & Pengurusan Kewangan dalam Perniagaan Pelancongan”

12.00 tghari     :           Pembentangan 4
                                    MIDA
                                    ”Isu Cukai”

1.00 tgh           :           Makan Tengahari
2.30 ptg           :           Forum Transformasi Usahawan Bumiputera Di
                                    Dalam Industri Pelancongan
                                                            
                                    Panel Speaker - Sri Sutra   

                                    Moderator
                                    YBhg Datuk Prof. Madya Abu Bakar bin Md Diah

4.00 ptg  :   Majlis Penutup
Yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hj. Hasnoor Bin Sidang Husin, Pengarah, Majlis Tindakan Ekonomi & Sosial Negeri Melaka.

                          :         Minum Petang.

                          :         Bersurai.

Wednesday, 5 December 2012

Kombo Briged Seni Melaka Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka Terima Peralatan Muzik

29 November 2012, PWTC Kuala Lumpur.

Kumpulan Kombo Briged Seni Melaka Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka menerima sumbangan peralatan muzik berharga RM50,000 sumbangan dari UMNO Malaysia sebagai pengiktirafan dan penghargaan di atas usaha gigih dan kejayaan kumpulan itu memartabatkan kebudayaan serta kesenian Melaka di persada dunia.

Keratan Akbar Berita Harian keluaran 30 November 2012

Keratan Akbar Melaka Hari Ini keluaran 30 November 2012




Pavillion Melaka Tumpuan Perwakilan & Pemerhati Sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke66 2012 di PWTC

Pavillion Melaka di Aras 3, PWTC Kuala Lumpur

Pavillion Melaka yang terletak di Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula dari 26 November hingga 1 Disember 2012 menjadi salah satu lokasi tumpuan perwakilan dan pemerhati bagi mendapatkan pelbagai informasi berkaitan produk pelancongan serta ole-ole jenama Melaka.

Keratan Akbar Melaka Hari Ini keluaran 2 Dis 2012

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Encik Abd Kadir Idris di Pavillion Melaka sewaktu persidangan berhenti rehat tengahari

CEO Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka, Datuk Baharom Majid sudi mengunjungi Pavillion Melaka

ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar antara yang terawal mengunjungi Pavillion Melaka



Friday, 23 November 2012

Malam Kebudayaan Baba Nyonya (Jonker Walk-25 Nov 2012)


Malam Kebudayaan Baba Nyonya ini diadakan sempena Festival Antarabangsa Baba Nyonya Melaka 2012. 
Pelbagai acara menarik bakal dipersembahkan. Festival ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Melaka bersama Persatuan Peranakan Cina Melaka.
Tempat: Pentas Jonker Walk
Tarikh: 25 Nov 2012 (hari Ahad)
Masa: 8.00 malam
Semua di jemput hadir...


Thursday, 22 November 2012

Mini skuter tarikan baru Wonderland


Taman Tema Melaka Wonderland yang terletak di Ayer Keroh dengan jarak kira-kira 15 minit dari bandar raya Melaka terus menjadi pilihan pengunjung tempatan mahupun luar bagi meluangkan masa bersama keluarga pada waktu cuti.
Sejak beroperasi pada 15 Mei 2010, taman tema itu terus menerima ramai kunjungan pelancong sehingga mencatatkan lebih satu juta pengunjung dalam masa dua tahun.
Kawasan yang berkeluasan 12.14 hektar itu turut dilengkapi taman tema air yang memberi pengalaman menakjubkan kepada semua pengunjung termasuk kanak-kanak, remaja dan penggemar sukan lasak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121122/ws_01/Mini-skuter-tarikan-baru-Wonderland#ixzz2CuZmxMqc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 21 November 2012

Porto Historia RM92 juta bakal dibina


20 Nov 2012- Kerajaan negeri kini dalam proses membangunkan Kompleks Kota Warisan Porto Historia bernilai RM92 juta di Kota Laksamana di sini dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri terutama di daerah Melaka Tengah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek pembangunan hartanah itu dibangunkan di atas tanah seluas 1.9 hektar berhadapan Sungai Melaka, melibatkan bangunan komersial tiga tingkat dengan 55 unit kedai.

Menurutnya, pembinaan Porto Historia yang dijangka siap sepenuhnya November hadapan merupakan hasil usahasama pintar antara anak syarikat kerajaan negeri iaitu Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Finance House Berhad dan First Avenue Partners (Asia) Sdn. Bhd.
"Projek ini mendapat sambutan amat menggalakkan kerana kesemua unit kedai yang bakal dibangunkan ini telah habis dijual.

Sertai Kembara Upin & Ipin di Melaka Wonderland, 1 & 2 Dis 2012

Nak berjumpa dengan Upin & Ipin.... Sertai Kembara Upin & Ipin di Melaka Wonderland pada 1 dan 2 Disember 2012. Keterangan lanjut sila hubungi 06-2313333 / 1119 & 1115 dan klik di SINI.



Friday, 16 November 2012

Kawasan Tarikan Pelancong Dipantau


Dalam usaha mencapai sasaran seramai 13 juta pelancong ke Melaka menjelang hujung tahun ini, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan pemantauan produk pelancongan terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, pemantauan yang kerap itu penting bagi menjamin tahap kebersihan, keceriaan serta keselamatan di tempat-tempat tumpuan tersebut.
Menurutnya, pemantauan berterusan seumpama itu dilihat dapat membantu pihak kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah dihadapi seterusnya menceriakan lagi kawasan-kawasan terbabit.
"Usaha menitikberatkan tahap kebersihan serta keselamatan di kawasan tumpuan pelancong ini diharap dapat membantu mencapai sasaran 13 juta pelancong ke negeri ini menjelang penghujung 2012," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121113/ws_02/Kawasan-tarikan-dipantau#ixzz2CLZ6bEGO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 14 November 2012

Program "Cuban National Cultural Day"@Casa Cuba, Bukit Peringgit, Melaka

Sekitar Program 'Cuban National Culture Day' yang turut dihadiri oleh Duta Republik Cuba ke Malaysia iaitu H.E Mr Ruben Perez Valdes di Casa Cuba, Bukit Peringgit, Melaka.









36 peserta Program Azam Kerja terima beca

36 peserta Program Azam Kerja terima beca


13 Nov. - Seramai 36 pengayuh beca di seluruh negeri ini yang menyertai Program Azam Kerja (Menjana Pendapatan) 2012 dipilih untuk menerima sumbangan beca daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, sumbangan beca tersebut diserahkan secara percuma kepada kesemua peserta berkenaan yang telah tamat menyertai program teori dan praktikal selama enam bulan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121114/ws_02/36-peserta-Program-Azam-Kerja-terima-beca#ixzz2CB6ixaWL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Salam Maal Hijrah 1434H

Warga Kerja Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434H/2012M. Tema sambutan tahun ini adalah ''Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah", tarikh 15 November 2012, bersamaan hari Khamis.


“Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” 
Mengambil pendekatan sederhana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sepertimana yang termaktub dalam Piagam Madinah yang telah dipersetujui Baginda Nabi Muhammad SAW dengan masyarakat bukan Islam. Ia menyerlahkan semangat toleransi beragama apabila orang Islam dan bukan Islam saling faham memahami, saling berkerjasama dan hidup secara harmoni. Perlembagaan Madinah mempertahankan kebebasan beragama untuk semua, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti untuk mengamalkan pegangan dan budaya mereka.


Monday, 12 November 2012

Mari Bercuti Bersama Boboi Boy di Melaka Wonderland 16~18 Nov 2012


Nak berjumpa dengan Boboiboy, Yaya, Ying dan Gopal...!!!! Sertai Karnival Boboiboy di Melaka Wonderland pada 16 hingga 18 November 2012. Keterangan lanjut sila hubungi 06-2313333 / 1119 & 1115 atau klik di SINI atau Facebook

Selamat Hari Deepavali 2012

Warga kerja Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia dan seantero dunia


10 Nov 2012 - Sekitar Majlis Pelancaran RTC Melaka (RTC Melaka Tekankan Agro Pelancongan)

 RTC Melaka Tekankan Agro Pelancongan