MELAKA TOURISM

Wednesday 12 December 2012

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan




Sebuah bangunan lama yang telah diubahsuai, kini dengan megahnya berdiri menghadap ke Padang Pahlawan pernah mencatat sejarah kemenangan di atas sebuah perjuangan; mengarah ke Selat Melaka yang biru menyelami dasar ingatan tentang sebuah Kesultanan Melayu. Itulah bangunan yang banyak rahsia terpendam di dalam gedungnya, kini dikenali sebagai Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan diwujudkan atas usaha bersama Kerajaan Negeri Melaka dan Arkib Negara Malaysia. Bangunan Memorial ini dahulunya adalah bangunan Malacca Club dan telah diubahsuaikan. Kerja-kerja pengubahsuaian ini dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka di bawah pengawasan Arkib Negara Malaysia. Perbelanjaan mengubahsuai adalah sebanyak RM1,382,971 dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Melaka. Terletak di atas tapak seluas 4,333 meter persegi, bangunan Memorial ini dikelilingi oleh tinggalan-tinggalan dan binaan-binaan sejarah seperti Kota Famosa, Bukit, St. Paul, Padang Pahlawan dan Muzium Budaya atau Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka.

Penubuhan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bersesuian pada masa dan tempatnya sebagai memperingati detik-detik perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan, tambahan pula kedudukannya yang dikelilingi oleh tinggalan dan kesan-kesan sejarah tanah air yang penting. Cadangan awal Kerajaan Negeri Melaka ialah untuk menamakannya sebagai Memorial Tunku Abdul Rahman tetapi telah diubah kepada Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Ini bersesuaian dengan satu peristiwa penting iaitu tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, yang telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Pahlawan, Bandar Hilir pada 20 Februari 1956. Bersempena dengan sambutan perayaan kemerdekaan Ke-28, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1985.

Kewujudan Memorial ini adalah untuk mengenang kembali lembaran sejarah detik-detik perjuangan kearah mencapai kemerdekaan sehinggalah ke detik paling bersejarah di Padang Pahlawan, Bandar Hilir. Usaha ini bertujuan untuk memberi pengajaran kepada generasi masa kini dan akan datang untuk memahami sejarah perjuangan bangsa menuntut kemerdekaan negara dalam perspektif yang sebenarnya. Dengan cara ini para generasi muda akan dapat menghargai, menghormati dan seterusnya meneladani pengorbanan datuk nenek mereka dalam perjuangan membebaskan negara. Ini secara tidak langsung akan dapat memupuk semangat kenegaraan, rasa hormat dan cintakan negara.

Untuk tujuan tersebut, Memorial setinggi dua tingkat ini menyedia dan mempamerkan dokumen-dokumen sejarah yang meliputi zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah ke detik tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957. Bahan-bahan yang dipamerkan termasuklah dokumen sejarah, gambar, peta, keratan akhbar dan majalah, petikan filem dan lain-lain yang didapati daripada sumbangan orang ramai dan barang-barang kepunyaan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pameran yang terdapat di Memorial ini dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut urutan peristiwa atau secara kronologi. Ianya bermula daripada penubuhan Kesultanan Melayu Melaka dan zaman-zaman kejatuhan serta pengundurannya ke Johor dalam usaha menentang Portugis. Beberapa siri perjuangan menentang penjajahan seperti di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Sarawak turut dipamerkan.
Selain itu turut dipamer juga perjuangan rakyat Persekutuan Tanah Melayu di zaman pra-kemerdekaan khususnya peranan parti-parti politik dan tokoh-tokoh seperti Dato' Onn, Tunku Abd. Rahman, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ibrahim Yaacob sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan menerusi permuafakatan parti-parti UMNO - MCA - MIC yang mewakili tiga kaum terbesar dalam Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.

Ruang-ruang pameran juga disediakan mengikut urutan peristiwa tersebut bermula dari tingkat bawah bangunan Memorial sehinggalah ke tingkat kedua. Pada ruang di tingkat dua memorial ini, disediakan tayangan filem yang berkaitan dengan perjuangan ke arah kemerdekaan seperti zaman darurat dan pengisytiharan hari kemerdekaan. Sebahagian besar bangunan Memorial ini digunakan untuk pameran dan di sebelah belakangnya ditempatkan ruang pejabat bagi mengendalikan Memorial ini.
Kini Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan merupakan salah satu bangunan yang menjadi tumpuan para pelawat yang ingin mengetahui sejarah perjuangan negaramembebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Di dalam terpamer segala khazanah perjuangan bangsa untuk tatapan dan teladan generasi hari ini dan akan datang.

No comments:

Post a Comment