MELAKA TOURISM

Friday 22 March 2013

Kedatangan pelancong ke Melaka dijangka meningkat 10% setiap tahun


Kedatangan pelancong ke negeri ini mencatat pertambahan sebanyak 10 peratus setiap tahun, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan, Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik.

Menurutnya, itu menunjukkan pertumbuhan positif dan ia satu lonjakan yang membanggakan dalam memacu pembangunan industri pelancongan di negeri itu.

Beliau berkata, sejak 1999 hingga 2011, kehadiran pelancong yang dicatatkan ialah seramai 71,483,350 dengan 54,265,482 atau 75.9 peratus adalah pelancong domestik manakala baki 17,417,868 atau 24.1 peratus pula pelancong asing.

''Dari segi trend kedatangan pelancong hampir setiap tahun meningkat sebanyak 10 peratus dan boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu dan cuti umum Melaka menjadi tumpuan.

''Dakwaan pembangkang dalam setiap ceramah yang mempertikaikan sektor pelancongan di Melaka kurang menjadi tumpuan pelancong domestik dan luar negara adalah tidak benar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Latiff berkata, bagi merancakkan lagi usaha menarik 13 juta pelancong yang disasarkan melawat Melaka tahun ini, Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) negeri pejabat Ketua Menteri dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan merancang 129 acara pelancongan sepanjang tahun ini. Beliau ditemui berkata selepas majlis makan tengahari bersama kakitangan Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka di Banda Hilir, Melaka.

Menurutnya, tumpuan adalah kepada 12 acara utama yang dijangka menarik lebih ramai pelancong mengunjungi negeri itu.

Antara yang menarik perhatian ialah Festival Drum Archipelago Ke-16 (9-17 April), Festival Sungai Antarabangsa Melaka (1-30 Jun), Fiesta San Juang & San Pedro (23-29 Jun), Melaka Art & Performance Festival (21-22 September), Melaka World Heritage Music Festival (13-14 September) dan Baba Nyonya Festival (23-25 September).

''Di samping itu kerajaan negeri juga terus menggiatkan usaha menambah lebih banyak tempat tarikan pelancongan yang kini dalam pembinaan dan terbaru ialah pembinaan Jurassic Park di Dataran Klebang 1Malaysia," katanya.

Katanya, antara projek pelancongan yang sedang dibangunkan ialah Arab City, Malaysia Eye & Taman Tema di Pulau Melaka, Perkampungan Hang Tuah di Duyong, Extreme Park Tasik Chin Chin, Diamond Coast & Restoran Bas di Klebang, projek Monorel Fasa Kedua, pembangunan Melaka Alive Bahtera Merdeka dan Bird Aviary.

Beliau berkata, apabila kesemua projek itu siap, kedatangan pelancong dijangka bertambah dua kali ganda berbanding sejak 1999 hingga 2011.

Gambar-Gambar Sekitar Raptor Watch 2013@Tanjung Tuan