MELAKA TOURISM

Wednesday 20 February 2013

Melaka mengungguli Kejohanan Golf Antarabangsa Warisan Dunia Eropah 2013 (IGTWA)

MELAKA 17 Feb. - Pasukan amatur Melaka mengungguli Kejohanan Golf Antarabangsa Warisan Dunia Eropah 2013 (IGTWA) apabila menewaskan skuad amatur Eropah dengan keputusan 38-18 pada hari terakhir kejohanan itu yang berlangsung di Kelab Golf Tiara & Country, Ayer Keroh di sini semalam.

Melaka yang diketuai oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob nyata sukar digugat sejak saingan hari pertama apabila mendahului Eropah dengan 15-5 dan 13-8 pada hari kedua sebelum menutup saingan dengan kemenangan 13-5 pada hari terakhir untuk keseluruhan mengumpul 38-18. Seramai 30 pemain amatur Melaka dan 30 pemain dari 12 buah negara Eropah bersaing selama tiga hari sejak Khamis hingga Sabtu mengikut format match play mempertandingkan kategori individu, foursome dan fourball. Ini adalah julung-julung kali Melaka menganjurkan kejohanan itu menerusi anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Melaka Berhad (KMB).
Majlis penyampaian trofi kejohanan telah disempurnakan oleh Mohd. Khalil kepada ketua pasukan skuad amatur Melaka, Datuk Omar Kaseh yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan beberapa exco kerajaan negeri yang lain.

Berucap pada majlis penyampaian hadiah Mohd. Khalil berkata, kejohanan julung kali diadakan itu akan menjadikan Melaka lebih dikenali di peringkat antarabangsa selaras dengan matlamat pelancongan negeri.


IGTWA2013-Melaka terus unggul atasi Eropah

MELAKA 15 Feb. - Kemenangan yang disandang Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob secara gandingan membolehkan Melaka mendahului Eropah 26-12 pada hari kedua Kejohanan Golf Antarabangsa Warisan Dunia Eropah 2013 (IGTWA) di Kelab Golf Tiara & Country, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Khalil yang bergandingan dengan Hamdan Zambahari dalam kategori foursome menang empat dan tiga menewaskan pasangan dari Eropah menerusi Oskar Brunnthaler dan Anthony Fry.
Selepas mencatat kemenangan 15-5 mengatasi Eropah semalam, dominasi skuad golf amatur Melaka yang diketuai Mohd. Khalil nyata sukar digugat pasukan lawan apabila hari ini meraih 11 lagi kemenangan manakala pihak lawan sekadar mendapat tujuh kemenangan.

Bagi kategori individu, Melaka menang lima dan Eropah turut mencatat kemenangan yang sama manakala bagi kategori foursome tuan rumah meraih tiga kemenangan dan tewas satu kepada lawan.

Perasmian Kejohanan IGTWA - Jadi acara tahunan promosi pelancongan Melaka

MELAKA 14 Feb. - Kejohanan Golf Antarabangsa Warisan Dunia Eropah 2013 (IGTWA) akan menjadi acara tahunan dalam kalendar kerajaan negeri dan ia akan dianjurkan setiap dua tahun sekali, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Menurutnya, kejohanan julung-julung kali diadakan yang merupakan pertandingan antara negara-negara Eropah menentang Melaka dilihat dapat menarik minat ramai pelancong dari benua tersebut menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan baharu. Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh komitmen dan bekerjasama dengan PSO Production Ltd yang membawa kejohanan itu buat pertama kali diadakan di luar benua Eropah.

"Melalui kejohanan ini ia telah berjaya menarik minat kira-kira 30 pemain amatur dari 12 negara di Eropah untuk bukan sahaja bermain golf sebaliknya mereka berpeluang melihat keunikan Melaka yang mempunyai banyak produk pelancongan menarik.


"Ini juga secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong dari Eropah untuk berkunjung ke Melaka kerana apabila mereka pulang nanti mereka secara tidak langsung akan mempromosi negeri ini di kalangan rakan, saudara mara dan sahabat-handai," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Kejohanan IGTWA yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Hotel Equatorial di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Perancis, Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Pengerusi kejohanan, Datuk Ghaafar Atan.

Negara-negara Eropah yang mengambil bahagian ialah Austria, Bulgaria, Republik Czech, England, Perancis, Scotland, Belanda, Norway, Portugal, Monrovia, Jerman dan Sepanyol.

Friday 8 February 2013

Pertandingan Selawat Nabi Atas Bot-Melaka River Cruise

 
 
1 Feb 2013

Sambutan Maulidur Rasul sering dianjurkan saban tahun oleh pelbagai pihak dalam usaha memperingati hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pelbagai inisiatif dilakukan demi menyemarakkan lagi sambutan dengan cara tersendiri seperti perarakan di masjid-masjid, stadium, dataran dan sebagainya bagi menjadikannya lebih bermakna. Malah, terdapat juga cara penganjuran yang lebih unik bagi menjadikan orang ramai lebih teruja seterusnya menghayati erti sebenar sambutan peristiwa besar dalam kalendar Islam itu.

Bertitik-tolak dari itu, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Pertandingan Selawat Nabi di atas Bot River Cruise sempena sambutan Maulidur Rasul 1434 Hijrah.

Inisiatif yang dianjurkan sejak 2010 itu bertujuan mendekatkan lagi masyarakat dengan aktiviti memperingati Rasulullah di samping membantu mempromosikan produk pelancongan negeri. Jika sebelum ini, Sungai Melaka kotor dan tidak terurus, namun kini ia telah berubah 100 peratus menjadi lebih cantik dan bersih serta berjaya menjana pendapatan kepada ekonomi negeri.

Usaha ini telah dikomersialkan oleh kerajaan negeri melalui Melaka River Cruise dan menjadi salah satu produk pelancongan negeri kian popular termasuk di peringkat antarabangsa. Berdasarkan sejarah Sungai Melaka, dikatakan di sinilah tempat Parameswara mula menjejakkan kakinya dan melihat anjing beliau ditendang oleh pelanduk putih hingga jatuh ke dalam sungai.

Semasa kejadian aneh itu, Parameswara sedang berehat di sebatang pokok lalu terus memberikan nama tempat tersebut sempena nama pokok berkenaan yang kekal hingga ke hari ini, Melaka. Di sungai ini jugalah para pedagang Arab datang berdagang di samping menyebarkan ajaran suci agama Islam hingga menarik minat Parameswara sebagai Raja Melaka masa itu untuk memeluk Islam diikuti orang-orang Melayu yang lain.

Oleh yang demikian, pemilihan Sungai Melaka sebagai lokasi perarakan sambutan Maulidur Rasul dilihat amat bersesuaian sekali dengan perkembangan Islam di negara ini.

Pertandingan tersebut semakin mendapat sambutan menggalakkan terutamanya para peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, pihak swasta malahan pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah. Pertandingan yang berlangsung selama 40 minit menyusuri Sungai Melaka dari Taman Rempah menuju ke muara dan kembali semula ke Taman Rempah itu melibatkan sebanyak 20 kontinjen. Setiap kontinjen yang masing-masing mempunyai seramai 40 peserta harus mengalunkan selawat Nabi sepanjang tempoh pertandingan. Juara pertandingan dinilai melalui aspek selawat, disiplin para peserta dan juga kreativiti setiap kontinjen menghiasi bot masing-masing.