MELAKA TOURISM

Tuesday 3 February 2015

Empat Produk Pelancongan Baharu Di Melaka Perlu Dilawati


Empat produk pelancongan baharu iaitu The Orchard - wellness & Medical Resort, Serama Camp & Event, Muzium Penjara dan Melaka Alive merupakan destinasi yang perlu dilawati oleh orang ramai kerana mempunyai keunikan yang tersendiri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, semua destinasi tersebut mampu menjadi tarikan kepada orang ramai yang gemarkan pelbagai aktiviti sama ada lasak, ketenangan dan kesihatan, cabaran serta keindahan. Menurutnya, bagi mereka yang gemarkan ketenangan serta kesihatan, boleh mengunjungi The Orchard - wellness & Medical Resort di Alor Gajah yang menawarkan pelbagai pakej rawatan kesihatan sambil bercuti menenangkan minda. "The Orchard yang merupakan yang pertama di Asia Tenggara boleh menjadi pilihan mereka kerana selain jauh dari kesibukan kota, menawarkan rawatan moden serta tradisional. "Ini termasuklah spa, hidroterapi, terapi ozon dan pelbagai jenis urutan," katanya demikian dalam sesi lawatan Fam Trip di The Orchard, Alor Gajah, di sini semalam.

Dalam pada itu, kata Ghazale, bagi peminat aktiviti lasak, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang ditawarkan di Serama Camp & Event, Durian Tunggal. Antaranya ialah menunggang ATV (RM30 selama 20 minit), menunggang ATV X (RM160 selama 2 jam 30 minit), buggy ride (RM50) dan pony ride (RM10). Aktiviti lain yang turut ditawarkan ialah monkey walk, Orang Utan walk, flying fox, tarzan swing, memanjat dinding, bola air dan bot fiber. Bayaran kemasukan, RM75 (dewasa) dan RM60 bagi kanak-kanak empat hingga 12 tahun.

Sementara itu, kata Ghazale, orang ramai juga disaran agar tidak melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan Melaka Alive yang terletak bertentangan dengan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Katanya, pertunjukan air pancut selama 40 minit itu diadakan setiap hari menerusi dua sesi iaitu pada pukul 7.30 malam dan 9 malam. "Pertunjukan ini amat berlainan kerana menggunakan air sebagai tabir latar belakang yang akan meninggal kesan yang amat cantik dan unik," katanya.

source: utusan online