KESERONOKAN berkunjung ke Melaka Bandaraya Bersejarah dengan keluarga sememangnya meninggalkan 1,001 kenangan terindah buat semua.
Kepelbagaian destinasi harus dilawati di negeri itu yang diisytiharkan sebagai bandar Warisan Dunia oleh Unesco pada 1 Julai 2008 bukan saja memberi peluang kepada pengunjung melihat tinggalan sejarah juga memberi pengetahuan cukup bermakna.
Selain Kota A’ Famosa, Menara Taming Sari, Taman Mini Malaysia dan Muzium Samudera, pelbagai tarikan pelancongan lain yang boleh dilawati.
Melaka River Cruise adalah perkhidmatan bot yang membawa pengunjung menyusuri Sungai Melaka dari Taman Rempah hingga ke Muara Sungai Melaka dan kembali semula ke Taman Rempah yang mengambil masa kira-kira 45 minit.
Selain di Taman Rempah, pengunjung juga boleh menaikinya di Jeti Muara Sungai Melaka iaitu di muara sungai Melaka terus ke Taman Rempah dan kembali ke Jeti Muara Sungai Melaka. Pengunjung mempunyai dua pilihan untuk menaiki Melaka River Cruise sama ada siang atau malam. Walaupun laluan yang sama, kedua-dua sesi ada kelainan dan keunikan tersendiri.
Ketika siang, pelayaran di sungai Melaka itu membawa pengunjung melalui kawasan Sungai Melaka yang indah dan menarik termasuk Bandaraya Melaka yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Pada sebelah malam pula biar pun laluannya sama, namun lebih istimewa kerana di sepanjang perjalanan, laluan di tepi Sungai Melaka dihiasi keindahan lampu pelbagai jenis dan warna.
Di samping bangunan lama yang unik di sepanjang sungai, jambatan indah yang merentasi sungai turut kelihatan. Apatah lagi Sungai Melaka adalah salah satu sungai terindah di dunia. Di setiap kawasan yang dilalui termasuk tujuh jambatan iaitu Jambatan Kampung Morten, Jambatan stesen bas ekspres lama, Jambatan Hang Tuah, Jambatan Pasar, Jambatan Kampung Jawa, Jambatan Chan Koon Cheng dan Jambatan Tan Kim Seng, mempunyai cerita serta sejarah tersendiri.
Sepanjang sembilan kilometer di kedua-dua belah tebing sungai pula adalah siar kaki yang dibina kerajaan negeri bermula dari jeti Taman Rempah hingga ke jeti Muara Sungai Melaka. Ruang siar kaki ini adalah tarikan utama bagi orang awam sebagai tempat beriadah.
Memulakan pengembaraan menaiki bot yang pastinya menyeronokkan dengan penerangan di setiap tempat yang dilalui, 200 meter di sebelah kanan dari Jeti Taman Rempah, pengunjung dapat melihat kampung Melayu yang sudah lama wujud sejak awal 1920-an iaitu Kampung Morten.
Masih mengekalkan reka bentuk tradisional, Kampung Morten yang dinamakan sempena nama Pesuruhjaya Tanah yang bertanggungjawab serta dihormati masyarakat dulu iaitu J F Morten pasti mengujakan.
Menurut sejarah tempatan, lelaki di kampung itu bekerja sebagai ‘Menadirs’ iaitu pengusaha perahu kecil yang dipanggil ‘Nadirs’ bagi tujuan mengangkut barang dari kapal dan tongkang sementara wanita pula meraut pucuk nipah untuk dijadikan rokok.
Kini, Kampung Morten dikenali Muzium Hidup apabila kerajaan negeri dan penduduk kampung berpakat untuk memelihara tradisi, cara hidup serta seni binanya yang memukau.
Selepas melepasi Kampung Morten, pengunjung bakal merentasi Jambatan Kampung Morten yang berfungsi sebagai penghubung antara kampung Morten dan Jalan Bunga Raya.
Seterusnya, di sebelah kanan Jambatan Kampung Morten adalah Villa Sentosa. Rumah itu dibina pada suku pertama pada abad ke-20 dan ditukar menjadi muzium oleh pemiliknya.
Berkunjung ke Villa itu, pengunjung boleh melihat koleksi peribadi pakaian, kerja tenunan Melayu lama, perabot dan peralatan senjata pada era itu.
Tidak jauh dari Villa Sentosa kelihatan contoh rumah Melayu Asal yang dibina mengikut reka bentuk rumah Limas pada 1922. Salah satu ciri unik rumah itu adalah pembinaannya yang tidak menggunakan paku, sebaliknya struktur rumah itu hanya menggunakan pemasangan pasak.
Puas melihat seni bina dan reka bentuk tradisional rumah lama, pengunjung boleh merentasi laluan yang dipenuhi rimbunan pokok bakau.
Ia habitat yang sesuai untuk spesies bakau dan kerajaan negeri mengambil inisiatif mengekalkan pokok berkenaan untuk menghalang hakisan di tebing sungai.
Di hujung Kampung Morten ialah pasar lama Melaka yang beroperasi sekitar 1960 hingga 1990 dan kini dipindah ke terminal, pasar dan bazar Melaka Sentral.
Di satu selekoh, pengunjung terutama kanak-kanak pasti teruja melihat Ferris Wheel dan Pirate Ship di Pirate Park Sungai Melaka iaitu taman tema yang dibina dengan anggaran kos pembiayaan sebanyak RM3.3 juta.
Dulunya, tempat itu adalah hentian bas ekspres sebelum terminal itu dipindahkan ke Melaka Sentral. Antara tarikan di situ adalah Ferris Wheel, Pirate Ship dan Trampoline Bungee.
Selepas Taman Tema, di sebelah kiri pengunjung boleh melihat panggung wayang Cathay lama yang beroperasi dari 1960 hingga 1990.
Di depan pawagam lama itu pula terdapat Dewan Hang Tuah. Dewan itu pernah digunakan sebagai dewan persidangan dan tempat mesyuarat kerajaan negeri. Kini, kawasan di sekitar Dewan Hang Tuah dibangunkan dan dikenali Hang Tuah Mall.
Jambatan yang terletak berdekatan Dewan Hang Tuah adalah Jambatan Hang Tuah dan sebaik melepasinya, di sebelah kiri adalah tapak rekreasi baru dibangunkan dengan air pancuran berirama.
Di sebelahnya pula terdapat tapak pasar terawal di Melaka dikenali sebagai Kampung Jawa. Ia beroperasi sejak 1940 hingga 1950. Ketika itu, sebanyak 50 bot nelayan berlabuh di sini setiap hari untuk membekalkan ikan untuk dijual di pasar ini.
Berdekatan Jambatan Pasar, di belakang deretan rumah kedai, pengunjung dapat melihat Masjid Kampung Hulu yang dibina pada 1728. Ia adalah masjid terawal di Melaka dan tertua di negara ini.
Pada 1892, struktur asas masjid itu diubah suai dan diperbaharui menggunakan batu bata. Seni bina masjid ini bercirikan reka bentuk hasil gabungan pengaruh China dan Kepulauan Melayu.
Selepas melepas deretan rumah kedai di situ, pengunjung berpeluang melihat Padang Nyiru iaitu titik pertemuan beberapa jalan raya seperti Lorong Hang Jebat, Jalan Laksamana, Jalan Bbunga Raya, Jalan Banda Kaba dan Jalan Kampung Jawa apabila bot mendekati Jambatan Chan Koon Cheng.
Deretan kedai yang ditukar menjadi kafe, kedai kraf dan cenderamata serta kafe berinternet untuk kemudahan pelancong dapat dilihat selepas Padang Nyiru.
Di sebelahnya pula kelihatan perkampungan baba dan nyonya yang juga terdapat banyak kedai menjual pelbagai jenis cenderamata serta barangan antik unik.
Selepas deretan kedai adalah kawasan menara jam. Ini adalah tarikan utama pelancong kerana Dutch Stadthuys ataupun bangunan merah terletak di situ.
Pengunjung boleh melawat hampir semua muzium yang terdapat di Melaka kerana ia tertumpu di dalam kawasan ini saja.
Kawasan Middleburg Bastion iaitu sebahagian daripada dinding Kubu Melaka yang dibina pada abad ke-16 dapat dilihat selepas melepasi kawasan menara jam.
Di sebelah Bastion adalah kincir air yang dibina mengikut reka bentuk asal sebuah kincir air yang terkenal di Belanda.
Bangunan di sebelah kincir air adalah sebuah Gudang lama yang dahulunya pernah digunakan sebagai tempat menyimpan barang dagangan di Jeti Parameswara.
Ia dijaga dan dijadikan tarikan pelancong dan kini dikekalkan reka bentuk asal serta menempatkan beberapa restoran dan kedai cenderamata yang dikenali sebagai Quayside.
Di hujung bangunan Quayside, terletaknya replika ‘Flora De La Mar’ iaitu kapal portugis yang tenggelam di perairan Melaka ketika perjalanan balik ke Portugal.
Selepas sampai di satu lagi jeti Melaka River Cruise iaitu Jeti Muara Sungai Melaka, bot berpatah balik ke Jeti Taman Rempah.
Jika sepanjang jalan dari Jeti Taman Rempah ada penerangan mengenai setiap laluan yang dilalui, kali ini, ia memberi peluang kepada pengunjung mengambil gambar dan menikmati keindahan malam di Sungai Melaka yang unik itu.
Bagaimanapun, bagi yang menaiki Melaka River Cruise di jeti itu, pengembaraan yang menakjubkan berakhir di situ. Justeru, bagi yang sedang merancang untuk pergi bercuti bersama keluarga pada musim cuti sekolah ini, Melaka adalah salah satu destinasinya dan menaiki Melaka River Cruise adalah satu kemestian.
INFO:
Kita boleh dapatkan senarai homestay Melaka yang murah di Melaka berhampiran lokasi pelancongan di Bandar Hilir dan Klebang sila lawati;
ReplyDeletehttp://www.homestaymelaka.com.my atau http://homestaymelaka.worldheritage.com.my. Sila hubungi melalui telefon atau Whatsapp ke 013-2987378 (Hana) untuk tempahan.
Bagi penginapan apartment dan hostel murah untuk rombongan ke Melaka berhampiran lokasi pelancongan di Bandar Hilir dan Klebang boleh lawati http://www.indahkembara.com
Ataupun kita ada membawa rombongan pelajar ataupun kumpulan bolehlah mendapatkan pakej-pakej menarik untuk penginapan di Melaka dengan melawati http://pakejlawatan.worldheritage.com.my