MELAKA TOURISM

Friday 4 January 2013

1 Jan 2013 - Konvoi Bermotosikal 1Melaka Bersama Ketua Menteri sempena Sambutan Tahun Baharu 2013

Selepas melakar sejarah melengkapkan laluan sejauh 254 kilometer dalam program Jelajah Berbasikal Melaka sempena sambutan 750 tahun penubuhan negeri ini Januari tahun lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sekali lagi membuat kejutan. Kali ini beliau menunggang motosikal kapcai mengetuai Konvoi Bermotosikal 1Melaka Bersama Ketua Menteri sempena Sambutan Tahun Baharu 2013 untuk menjelajah 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Mohd. Ali mengetuai kira-kira 2,700 peserta termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi mengharungi laluan sejauh 427 kilometer. Tidak siapa menafikan dalam usia beliau mencecah 63 tahun Mohd. Ali jelas cukup bertenaga seperti orang muda ketika mengetuai konvoi di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kira-kira pukul 8.15 pagi. Turut serta dalam konvoi tersebut ialah Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan dan orang ramai.
Kemampuan Mohd. Ali terserlah sewaktu menyertai program Jelajah Berbasikal Melaka yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) 3 Januari tahun lalu. MBOR mengiktiraf jelajah itu sebagai konvoi berbasikal mengharungi laluan terpanjang dan membabitkan 16,000 peserta.
Beliau sekali lagi membuat kejutan apabila mengetuai Konvoi Bermotosikal 1Melaka Bersama Ketua Menteri dengan hanya menunggang motosikal kapcai mengharungi laluan sejauh 427km. Pada mulanya, beliau dicadangkan menunggang motosikal berkuasa tinggi tetapi menolaknya dengan alasan lebih selesa menunggang motosikal kapcai.
Di setiap lokasi yang disinggahi, Mohd. Ali dan peserta konvoi beramah mesra dengan penduduk setempat dan lebih menarik beliau sempat menggunting rambut di UMNO cawangan Kota Melaka. Mohd. Ali jelas tidak kelihatan letih sebaliknya bertenaga menunggang motosikal mengetuai konvoi menjelajah seluruh 28 DUN di negeri ini. Bermula dari Dataran MBMB, konvoi berkenaan melalui jalan Limbongan, Klebang, Tangga Batu, Sungai Udang, Masjid Tanah sebelum singgah di perhentian pertama di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kuala Linggi. Di RTC, kesemua peserta dijamu makan tengah hari sambil Mohd. Ali beramah mesra dengan penduduk setempat.
Selepas itu konvoi berkenaan meneruskan perjalanan dan dilepaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ir. Ismail Othman. Dari RTC konvoi berkenaan melalui Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah, Ayer Limau sebelum singgah di Masjid Lendu, Alor Gajah bagi kesemua peserta menunaikan solat zuhur. Konvoi berkenaan terus melalui Lebuhraya AMJ menuju ke Simpang Empat, Pulau Sebang, Tanjung Rimau, Alor Gajah, Paya Rumput, Balai Panjang sebelum memasuki laluan Jalan Bachang, Batu Berendam dan Durian Tunggal.
Dari situ mereka terus bergerak ke Machap, Selandar sebelum berhenti rehat melepaskan penat lelah di Stadium Jasin. Selepas itu konvoi tersebut terus bergerak melalui jalan Jasin-Tangkak, Lipat Kajang, Lebuh AMJ, Sungai Rambai, Merlimau, Serkam, Umbai, Telok Mas, Alai, Duyung, Bukit Katil sebelum berakhir di Dataran MBMB kira-kira pukul 6 petang.

No comments:

Post a Comment